Walk to Remember

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers




Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Friday, April 12, 2013

sabar separuh dari iman




Sabda Rasulullah SAW : “Seorang muslim apabila dalam pergaulan dia disakiti lalu dia sabar dengan perbuatan yang disakiti oleh manusia, lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul dengan manusia dan dia tidak sabar dengan perbuatan yang disakiti oleh mereka.” (Riwayat Imam Tarmizi)

Imam Al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai 'satu tindakan atau perbuatan yang terbit daripada diri secara berterusan, dan perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'. Manakala Sheikh Dr. Fathi Yakan dalam sebuah buku karangannya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam, meletakkan 'akhlak yang mulia itu adalah objektif paling utama Islam' sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Sebagai seorang muslim, khususnya petugas-petugas di dalam institusi sebuah syarikat yang mengamalkan cara hidup Islam atau dimana sahaja, hendaklah mengambil berat masalah akhlak. Lebih-lebih lagi akhlak sesama rakan sekerja.

Setiap muslim mengharapkan dan berusaha untuk memperbaiki diri dan akhlak sebagai seorang hamba, namun setiap muslim yang berusaha untuk menjadikan diri terbaik di sisi Allah dalam segala sudut pasti akan diuji. Dan ujian yang selalu menimpa ialah ujian dalam pergaulan, oleh kerana kita tidak dapat lari daripada manusia dan muamalah, maka kita sering diuji dengan saudara kita sendiri.

Antaranya, kita akan berhadapan dengan mereka yang suka mencari dan mengambil kesempatan terhadap kebaikan kita, kemahiran, ataupun kelemahan mahupun kekurangan. Adakalanya, kita mengalah dan ada masanya kita melatah dan akhirnya hilanglah pertimbangan sehingga kita merasa lemah, tidak sabar dan berputus asa.

Sudah semestinya kita tidak akan pernah terlepas daripada ujian akhlak dan tindakan daripada saudara kita mahupun diri kita sendiri. Namun apa yang penting, jika kita tidak dilayan dengan baik, tidak dihormati, jangan kita menyalahkan orang lain.

Justeru bersabarlah dan hadapkanlah perkara ini kepada Dia, bahawasanya Dia sedang menguji sejauhmana kesabaran dan keikhlasan hati kita dalam menuntut kebaikan, mereka adalah penyebab utama dalam menambah ganjaran pahala buat kita, dan sepatutnya kita ucapkanlah terima kasih kepada mereka atau berikanlah hadiah. Sepertimana yang berlaku pada Saidina Ali; Apabila disakiti oleh manusia, maka dia akan memberi hadiah kepada mereka, kerana mereka telah memberi pahala kepadanya.

Jadikan apa yang berlaku disekeliling kita adalah punca dan eset utama untuk kita meraih kebaikan di akhirat. Jangan pernah memperdulikan kesulitan di dunia yang sementara apatah lagi kesulitan yang datang daripada makhluk. Letakkan Allah sebagai matlamat agar hilanglah segala bebanan dan kesulitan.

Berjuanglah demi mendapatkan sebuah budi pekerti yang mulia, sesungguhnya mereka yang paling baik adalah mereka yang paling mulia akhlaknya. Wallahua'lam.


No comments: