Situasi 1: Banyaknya nak buat!
Terlalu banyak perkara yang perlu anda lakukan. Kad undangan, baju nikah, baju sanding, pelamin, mak andam, fotografi, dan sebagainya perlu diuruskan sendiri.
Penyelesaian: Bahagikan tugas
Jika anda lakukan semuanya berseorangan, pasti memenatkan. Jadi, bahagikanlah tugas yang perlu dilakukan dengan pasangan anda. Contohnya, kad undangan untuk tetamu. Buatlah kad undangan sekali gus yang mempunyai nama anda berdua. Bukan sahaja menjimatkan masa, malah kos juga dapat dijimatkan. Jika pasangan tidak tahu akan rekaan yang diinginkan, berilah contoh kad yang hampir sama supaya memudahkan si dia membuat tempahan.
Situasi 2: Katering atau masak sendiri?
Dalam waktu sesingkat ini, hasrat di hati mahukan khidmat katering bagi jamuan untuk tetamu yang hadir. Namun, keluarga pula mahukan aktiviti gotong-royong supaya lebih meriah. Hasrat hati siapa yang perlu dituruti?
Penyelesaian: Buat perbincangan
Dalam hal sebegini, pendapat daripada semua orang harus diambil kira. Buatlah perbincangan dengan keluarga supaya semuanya akan berjalan dengan lancar. Jika hendak membuat aktiviti gotong-royong, pastikan segala kelengkapan lengkap dan biarkanlah keluarga anda yang yang menguruskannya. Mungkin mereka lebih berpengalaman dengan aktiviti gotong-royong pada majlis perkahwinan ini.
Situasi 3: Tidak cukup masa
Bagi yang bekerja, pasti sibuk dengan tugas di pejabat. Hari minggu yang ada seperti tidak cukup untuk menguruskan segala persiapan perkahwinan. Mana satu yang perlu dilakukan dahulu?
Penyelesaian: Buat perancangan dan jadualkan
Rancanglah segalanya dengan bijak dan buatlah jadual jika perlu. Perancangan yang baik ditambah pula dengan jadual yang teratur pasti memudahkan anda menguruskan urusan perkahwinan. Misalnya, minggu pertama uruskanlah tentang busana sama ada untuk pernikahan mahupun persandingan manakala minggu kedua pula untuk cenderahati yang bakal dijadikan bingkisan buat tetamu. Lebih mudah jika ada perancangan dan jadual yang betul.
Situasi 4: Boleh minta tolong?
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ada kalanya, terdapat tugas yang tidak mampu dilakukan. Alangkah bagusnya jika ada pihak yang rela hati menawarkan diri untuk membantu anda. Tapi, tiada sesiapa pun yang menawarkan diri!
Penyelesaian: Jangan malu untuk minta tolong
Jika ada perkara yang memerlukan pertolongan, jangan rasa malu untuk meminta bantuan. Mungkin mereka pun tertunggu-tunggu permintaan pertolongan daripada anda. Misalnya, gubahan hantaran dan juga cenderahati untuk tetamu. Jika dilakukan secara beramai-ramai, pasti akan siap dengan cepat. Oleh itu, jangan rasa malu untuk minta tolong daripada rakan-rakan ataupun keluarga anda. Mereka juga akan turut merasai debaran yang dinanti pada majlis persandingan nanti.
Situasi 5: Mana satu yang tidak siap?
Keadaan yang singkat boleh mendatangkan kelam-kabut dan tekanan pada bakal pengantin. Keadaan yang tegang ini boleh menyebabkan kita terlupa akan sesuatu perkara. Perancangan dan jadual sudah pun dilakukan namun, jangan lupa tentang yang satu ini.
Penyelesaian: Buat senarai semak
Buatlah senarai semak bagi perkara-perkara yang sudah pun dilakukan. Bermula daripada minggu pertama sehinggalah minggu terakhir, catatkannya dalam buku nota. Tujuannya, untuk memudahkan anda melihat perkara-perkara yang sudah diselesaikan dan juga yang belum diselesaikan. Misalnya, jika kad undangan sudah pun diselesaikan pada minggu pertama, catatkannya supaya anda boleh menguruskan perkara-perkara penting yang lain pula.
* skadar tips utk bakal2 pengantin ok. info ini dari majalah pengantin bln march! ;)
No comments:
Post a Comment